Wednesday 27 May 2015

Oh Melayu! Orang Melayu dan Pemimpin Melayu

 

Orang Melayu di Malaysia adalah etnik paling malang di dunia ini. Orang Melayu digambarkan sebagai pemalas, hedonisma, dan  suka berhutang. Saya setuju dengan kenyataan ini untuk segelintir kelompok Melayu, tetapi bukan semua orang Melayu seteruk itu. Orang Melayu punya negara yang namanya dahulu Tanah Melayu. Dulu kita boleh membaca akhbar Utusan Melayu. Kini hanya ada Utusan Malaysia. Orang Melayu diklasifikasikan sebagai bumiputera Malaysia. Dulu Melayu Malaysia ada bank yang namanya Bank Bumiputera. Siapakah yang mengubah nama Tanah Melayu di tukar kepada Malaysia? Siapakah yang boleh dipertanggungjawabkan Bank Bumiputera ditelan oleh CIMB. Entiti-entiti Melayu ini hilang dari dunia ini bukan disebabkan oleh petani, nelayan, penoreh getah, pengawal keselamatan, makcik cleaner, pesawah padi atau rakyat marhaen berketurunan Melayu yang lain. Ahli-ahli politik Melayu Umnolah yang menyebabkan kedua-dua entiti tersebut hilang dalam lipatan sejarah.

Kini nilai saham FGV merudum dan bakal terkeluar dari Bursa Saham. Pelaburan 1MDB bakal melesapkan wang negara yang bernilai RM42 bilion. Tabung Haji, KWSP, KWAP, Telekom, Petronas sudah menjadi bank negara kerajaan. Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) juga dijadikan mekanisma kerajaan untuk pembangunan lantaran hutang negara hanpir RM700 bilion. Ramai graduat menganggur dan berhutang PTPTN. Apakah ini semua disebabkan orang Melayu yang tinggal di pedalaman, kampung, pekan, pinggir bandar, bandar dan bandaraya? Jawapanya mudah sahaja iaitu pemimpin-pemimpin politik Melayu dari parti pemerintah yang gagal mengurus tadbir negara. Tunggulah sangat kehancuran, jika tampuk pemerintahan diserahkan kepada orang yang tidak berkemampuan dan berkeupayaan. Bukan salah ahli-ahli politik Melayu yang memerintah, tetapi salah tangan yang memangkah. Bukan salah ibu mengandung tetapi salah tangan yang mengundi.
Wawasan, Visi dan Misi Pra-syarat Pemimpin Parti

Pemimpin yang berkarisma dan berkaliber adalah pemimpin yang mempunyai wawasan, misi dan visi. Wawasan, misi dan visi kepimpinan perlu diperkasakan dengan style dan strategi yang terancang agar matlamat membangun dan memajukan parti dapat dilaksanakan. Ahmad Awang sebagai salah seorang calon Presiden Pas memenuhi kreteria pemimpin berketrampilan dan kompeten yang mampu menjelmakan aspirasi dan inspirasi ahli-ahli Pas berkongsi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya pada PRU 14. 

Pemimpin yang sering menghamburkan kata-kata nista dan penghinaan, lidah bercabang dan suka membuat pusingan U terhadap keputusan yang telah dipersetujui bersama, mengkhianati semangat setia kawan dengan parti-parti komponen Pakatan Rakyat, sentiasa "flip flop" dalam sesuatu isu adalah kriteria-kriteria pemimpin "aportunities" yang hanya bertunjangkan kepada konsep Marchevelli "matlamat menghalalkan cara" untuk mencapai cita-cita politik peribadi tidak layak menerajui parti. Kenyataan-kenyataan pemimpin yang seakan-akan penyokong parti lawan sangat membahayakan parti dan gagasan Pakatan Rakyat. Pemimpin yang menyatakan "redha Allah lebih penting daripada memenangi Putrajaya" akan menjadikan Pas sebagai badan dakwah seperti Kumpulan Tabligh sahaja dan bukannya partai politik.  Memenangi Putrajaya mestilah seiring dengan syariat dan  keredhaan Allah untuk menyempurnakan tuntutan politik dalam konteks duniawi dan ukhrawi.


Ahmad Awang lebih tua dari Hadi Awang. Hadi Awang lebih muda tetapi banyak penyakit. Ahmad Awang lebih tua tetapi sihat. Orang tua pun mati dan ramai juga orang yang mati pada usia muda. Orang sihat pun mati dan orang sakit pun mati juga. Ajal maut di tangan Allah tanpa mengira usia. Ahli-ahli Pas mengharapkan perwakilan dapat memilih dan mengangkat presiden yang dapat menyatu-padukan saf kepimpinan parti yang datang daripda berbagai aliran pemikiran dan disiplin ilmu. Pemimpin juga adalah pendamai yang mampu mendamaikan ahli-ahli yang berkonflik kerana perbezaan pemikiran dan persepsi. Pemimpin yang tidak adil, berat sebelah dan yang sering berpihak kepada kroninya layak untuk berihat dan menjadi ahli biasa parti sahaja. 

Pendek kata, para perwakilan parti sewajarnya dapat memilih dan mengangkat pemimpin yang berkeupayaan untuk menumbangkan kerajaan yang menzalimi rakyat. Kesan tersalah memilih pemimpin, parti akan mundur ke belakang. Pas akan jati parti "pak lebai" dan POK (Parti Orang Kampung) yang indah pada doktrinnya tetapi tiada wakil di parlimen. Kokok berderai-derai hanya sekadar sembang di kedai kopi.

 




"Pas Not For All But For Ulama And East-Coast"


Slogan "Pas for All" bertentangan sama sekali dengan slogan Kumpulan UG "Pas untuk Pantai Timur". Jumlah kerusi Parlimen / kawasan yang ada di Kelantan 14, Terengganu 8 dan Pahang 14 yang jumlah kesemuanya 36 kawasan. Sedangkan jumlah kerusi parlimen / kawasan Malaysia adalah 222. Barisan saf kepimpinan yang dicalonkan oleh kelompok UG tidak menggambarkan semangat kemalaysian. Tiada seorang pun calon mereka berasal dari pantai barat Semenanjung, apatah lagi dari Malaysia Timur. Senerio ini menggambarkan semangat lokaliti membara dan menebal dalam jiwa pendokong-pendokong UG. UG mencalonkan empat calon untuk jawatan presiden, naib presiden, ketua pemuda dan ketua muslimat dari kalangan lulusan agama. Seakan-akan ada kasta dalam UG, hanya lulusan agama sahaja yang mereka layak bertanding.

Lihat pula calon pro-profesional Pas yang terdiri daripada lulusan dari pelbagai disiplin ilmu. Ahmad Awang (calon presiden) berasal dari Perak adalah seorang ulama lulusan agama. Mat Sabu (calon Timbalan Presiden) aktivis parti yang berasal dari Pulau Pinang. Suhaizan Kaiat (calon Ketua Pemuda) berasal dari Johor dan bekas pensyarah UTM. Siti Zailah Yusuf (calon Ketua Muslimat) berasal dari Kelantan dan seorang guru yang berkelulusan dari UITM. Ternyata calon-calon ini mewakili pantai timur, utara dan selatan Semenanjung. Pasukan ini tidak ada semangat lokaliti, bahkan mereka berjuang atas nama Malaysia.

Kita mengharapkan saf kepimpinan Pas selepas muktamar nanti mewakili pelbagai disiplin ilmu dan mewakili lokaliti seluruh Malaysia. Calon-calon pro-profesional memenuhi kreteria ini. Calon-calon pro-ulama hanya dari pantai timur Semenajung dan kesemua mereka lulusan agama. Parti yang kukuh perlu ditunjangai oleh barisan kepimpinan dari latar belakang disiplin ilmu yang berbeza. Ibarat jari, saling perlu-memerlukan antara satu sama lain untuk membina kekuatan cengkaman tangan. Barisan calon pro ulama hanya ada satu jari sahaja, yang akhirnya tangan tidak berfungsi dengan tuntas dan sempurna.

Kita mengharapkan saf kepimpinan Pas selepas muktamar nanti mewakili pelbagai disiplin ilmu dan mewakili lokaliti seluruh Malaysia. Calon-calon pro-profesional memenuhi kreteria ini. Calon-calon pro-ulama hanya dari pantai timur Semenajung dan kesemua mereka lulusan agama. Parti yang kukuh perlu ditunjangai oleh barisan kepimpinan dari latar belakang disiplin ilmu yang berbeza. Ibarat jari, saling perlu-memerlukan antara satu sama lain untuk membina kekuatan cengkaman tangan. Barisan calon pro ulama hanya ada satu jari sahaja, yang akhirnya tangan tidak berfungsi dengan tuntas dan sempurna.

Tuesday 26 May 2015


Ekstemis Pas: Senjata yang Makan Tuan





Allah memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat di tiga buah negeri Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan melalui PRU 13. Kuasa Pas sangat dominan di Kelantan. Pas mempunyai sedikit kuasa di Selangor, dan sekadar menumpang tuah di Pulau Pinang. Kesan kemenangan di tiga buah negeri ini, memberikan punca rezeki berbentuk jawatan dan kontrak kepada pimpinan dan pendokong-pendokong Pas. Lantaran itu, ahli-ahli Pas yang terlalu kebendaan, melihat jawatan dalam hiraki kepimpinan Pas adalah sumber rezeki. Maka berbondong-bondonglah ahli-ahli Pas mengidam berbagai jawatan parti. Dari titik-tolak inilah maka berlakulah perebutan jawatan yang sangat sengit menjelang Muktamar Pas Jun 2015 ini. Setiap calon ada proksi dan kroni masing-masing. Kemenangan calon-calon pilihan akan membawa tuah kepada mereka.

Umum sudah mengetahui bahawa mutakhir ini, Pas telah terpecah kepada dua kelompok. Kelompok yang pertama pro-ulama yang juga dikenali sebgai UG (United Goverment). Kelompok ini dikepalai oleh Hadi Awang, Presiden Pas. Kelompok ini dikatakan sudah menjalin hubungan gelap dengan Umno / BN untuk membentuk Kerajaan Perpaduan (UG). Kelompok kedua pula dikenali sebagai pro-profesional yang ditunjangi oleh Mat Sabu, Timbalan Presiden Pas. Kelompok ini sememangnya mahukan Pas terus berada dalam Pakatan Rakyat dan terlalu anti BN. Perang dingin yang kian membara antara kedua kelompok ini menyebabkan lahirnya ekstremis parti. Pada pengamatan saya, ekstemis yang tampak nyata memihak kepada kelompok pro-ulama. Nama-nama besar pencacai pro-ulama seperti Tuc Husin Ceroi dan Ustaz Mokhtar Senik menghentam dan menghina kumpulan pro-profesional. Pencacai-pencacai ini melihat kumpulan profesional sangat bahaya dan perlu dinyahkan dari saf kepimpinan Pas.

Hujah pencacai-pencacai ini mudah sahaja. Mereka menyatakan apa sahaja yang dinyatakan oleh Hadi Awang dan pemimpin-pemimpin Pas yang sewaktu dengannya sebagai "sabda dan firman". Apa sahaja kenyataan yang terhambur dari mulut Hadi Awang dianggap sebagai "wahyu" dan tidak boleh disanggah. Bahkan persepsi mereka bahawa pemimpin-pemimpin tertinggi pro-ulama adalah "maksum" dan perlu dipatuhi oleh setiap ahli Pas. Doktrin inilah yang menyebabkan ahli-ahli Pas yang fanatik dan buta politik memberikan "walaq" yang tidak berbelah bagi kepada barisan pimpinan mereka. Saya menyakini doktrin "maksum", "sabda", "firman", kenyataan-kenyataan pemimpin tertentu yang dianggap "wahyu" dan "walaq" akan menjadi "senjata yang akan makan tuan". 

Perwakilan Pas terdiri daripada ahli-ahli matang yang mempunyai disiplin ilmu yang diversiti. Perwakilan-perwakilan Pas mempunyai kebebasan memilih dan pastinya mereka tidak memilih secara kelompok. Pas memerlukan barisan kepimpinan yang datang dari pelbagai disiplin ilmu yang bakal digarap dan digembleng demi kemajuan dan survival parti. "Pas for All" adalah slogan yang sangat signifikan sepanjang zaman dan berupaya memacu Pas dan Pakatan Rakyat menguasai singgahsana Putrajaya pada PRU 14.

Monday 25 May 2015

Kemelut Dalaman Pas: 
Kenapa UG Bertungkus-lumus 
Menyingkir Profesional?
 

Seperti yang diketahui umum, Muktamar Pas kali ke-61 akan berlangsung pada  Jun 2015, di Kuala Selangor. Muktamar kali ini diramalkan sebagai muktamar yang paling panas sejak Pas tertubuh. Muktamar kali 61 ini bakal menyaksikan pertembungan antara dua kelompok, kelompok UG yang rata-rata berkelulusan dalam bidang agama, dan satu kelompok lagi kelompok profesional yang berkelulusan dalam bidang lain selain disiplin agama. Namun begitu, ada juga segelintir individu yang berkelulusan agama yang berpihak kepada profesional, dan dalam masa yang sama juga ada golongan profesional yang memihak kepada golongan UG. Setiap kelompok, ada agenda masing-masing.

Kelompok UG adalah kelompok yang bercita-cita besar untuk melaksanakan Hukum Hudud yang dipelopori Presiden Parti  Abdul Hadi Awang. Hadi Awang akan membawa usul perlaksanaan Hukum Hudud ini pada persidangan parlimen yang dijangkakan pada penghujung Mei ini. Namun sehingga kini, parlimen belum lagi memberikan tarikh yang pasti bila Hadi Awang diberi laluan untuk membentangkan Kanun Jenayah Syariah (KJS)  ini. Najib dan sebahagian ahli-ahli parlimen (MP) Umno berjanji untuk menyokong usul ini. Kelompok ini dikatakaan sudah memulakan rundingan dengan Umno untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan (United Goverment).

Kelompok profesional pula ditunjangi oleh Mat Sabu. Beliau ialah Timbalan Presiden Pas. Agenda utama kelompok ini pula untuk mengukuhkan kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat. Walaupun Anwar Ibrahim berjaya direhatkan oleh BN di Penjara Sungai Buluh, Pakatan Rakyat dilihat mampu untuk menumbangkan BN pada PRU 14 kelak seandainya PR masih tersedia. Umno /BN yang sudah kehilangan tenaga lantaran terlalu banyak penyelewangan dan penindasan terhadap rakyat. BR1M tidak mempunyai kekuatan yang ampuh untuk menutupi penyelewengan 1MDB dan penindasan cukai GST yang dikenakan kepada rakyat.

Pada hakikatnya, berdasarkan barisan kepimpinan Pas kini, lebih 70% diangotai oleh golongan profesional. Golongan UG seakan-akan tenggelam punca kerana pengaruh mereka kian terhakis dalam hiraki kepimpinan Pas. Mereka tidak berdiam diri dan terus bekerja keras menonjolkan diri mereka baik di cawangan, kawasan, dewan-dewan, negeri dan pusat. Sungguh malang golongan profesional kerana mereka tidak pandai bermain politik, yang akhirnya majoriti perwakilan ke Muktamar Pas Jun ini terdiri daripada penyokong-penyokong UG. Dengan tidak diduga sama sekali, ramai tokoh-tokoh profesional kalah di kawasan masing-masing seperti Ir Nizar kalah di Kampar,   Dr Hairudin kalah di Tambun, dan Dr Rani kecundang di Kapar. Slogan golongan UG untuk menyingkirkan golongan profesional seperti "walaq", "jihad", bahkan sanggup menggelarkan seteru mereka dengan panggilan "broker", "barua" dan "tolol". Konsep kewalaqan digunakan oleh UG untuk menggambarkan presiden adalah maksum dan tidak boleh dicanggah pandangannya.

"Pas for all" sudah menjadi omong-omong kosong sahaja. Ternyata kini "Pas only for UG".  Konsep kepimpinan yang war-warkan oleh al-Marhum Fadhil Noor  "memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesionalkan" hanya tinggal slogan sahaja.  Golongan UG menyedari mereka tidak mampu menjadi profesional, tetapi ramai profesional yang mampu menjadi ulama. Siapakah yang boleh menafikan kealiman  Dr Rani dan Shaari Sungip dalam bidang agama. Mereka berdua ini mampu memberikan usrah-usrah yang lebih mantap berbanding golongan UG. Tiada seorang pun golongan UG yang mampu memberikan kuliah mengenai kewangan, pengurusan, perubatan, kejuruteraan, sumber manusia, dsb. Mungkin ada golongan UG yang ambil MC jika diminta untuk menerangkan strategi untuk menjana kewangan parti! Apakah mempunyai kelulusan ijazah pertama dalam bidang syariah, sudah mampu bercakap soal usuludin, ekonomi Islam, kewangan Islam dan politik Islam? Paling kelakar, ada segelintir ahli Pas yang hanya berkelulusan SPM aliran agama berani meletakkan diri mereka sebagai ulama. Hanya sekadar hafal beberapa ayat Quran dan Hadis, dan mengenakan pakaian jubah dan serban maka makam mereka sudah setaraf ulama besar!.

Pas jika ingin menjadi parti yang maju, kuat dan survival memerlukan pengemblengan tenaga dan buah fikiran semua golongan sama ada ulama, profesional atau aktivis. Tidak mungkin berlaku kejayaan jika Pas hanya dipimpin oleh sesuatu golongan sahaja. Ibarat jari, saling perlu-memerlukan  untuk membina kekuatan tangan. Penyingkiran sesuatu golongan oleh sesuatu golongan yang lain akan menyebabkan Pas akan menghadapi sindrom diabetis; lemah,  longlai dan tiada bertenaga walaupun berhadapan dengan Umno/BN yang tengah dan kian  nazak.


Kelemahan Strategi Menghancurkan Pakatan Rakyat



Sungguh malang nasib Pas mempunyai presiden parti yang terlalu lemah dalam mengatur strategi politik. Memang betul, isu hudud menjadikan Pakatan Rakyat berantakan. Sekali imbas memperlihatkan hukum hudud menjelmakan kembali perjuangan asal Pas. Kekuatan Golongan pro-ulama mula terserlah dengan kerangka perlaksanaan hukuman hudud ini. Isu hukum hudud ini seakan-akan menenggelamkan pengaruh golongan profesional Pas. Golongan profesional Pas dilihat sebagai anti hudud kerana bermati-matian untuk bersama Pakatan Rakyat menumbangkan Barisan nasional.   Dalam masa yang sama,  Umno bijak dalam permainan politiknya. Memang tidak dapat dinafikan "politic is a dirty game". Dengan memanipulasi hudud, Umno berjaya mengkucar-kacirkan perpaduan dalam Pakatan Rakyat. Kini PR seakan-akan tinggal kenangan dalam lipatan sejarah politik negara kerana presiden Pas beriya-iya sangat untuk berpisah dengan DAP.

Hukum Hudud sengaja dijadikan senjata tajam puak UG untuk menyingkir kesemua pimpinan profesional Pas. Nampaknya senjata tersebut cukup ampuh dan Muktammar Pas pada Jun ini hampir pasti puak2 UG berjaya menyingkir golongan profesional tersebut. Kekuatan Pas berada di tangan golongan profesional. Tanpa kehadiran golongan profesional, Pas dilihat sebagai parti pak lebai dan hanya diterima oleh orang-orang kampung sahaja. Golongan profesional mempunyai daya pemikiran politik yang matang dan berpijak di bumi nyata. Mereka mempunyai golongan pemikir "think tank" untuk menjayakan strategi parti. Manakala golongan ulama pula hanya sekadar hebat dalam hukum-hakam dan menyampaikan ceramah dari surau ke masjid dan cermaha-ceramah umum sahaja, namun tiada strategi untuk memenangi pilihan raya.  Kehadiran golongan profesional Pas menyebabkan nafas Umno tersekat dan tercungap. Umno lelah dan dilihat sudah hampir sangat  kecundang. Umno akan berasa lega apabila tiada lagi golongan profesional memimpin Pas, dan natijahnya mereka sudah terbayang kejayaan pada PRU 14. 

Umno tidak perlu bekerja keras dan mengeluarkan kos yang tinggi untuk melemahkan Pakatan Rakyat. Umno hanya memberikan "gula-gula" tanda persetujuan untuk memberi sokongan kepada Kanun Jenayah Syariah (KJS) untuk dilaksanakan di Kelantan. Malangnya presiden Pas  menelan sahaja  "gula-gula" tersebut tanpa perlu bertanya tentang ingredientnya daripada rakan-rakan PRnya.  Pada realitinya "gula-gula" tersebut menjadi racun berbisa yang melemahkan kekentalan Pakatan Rakyat. PR menunggu masa untuk rebah menyembah bumi. 

Melaksanakan Hukum Hudud itu wajib, dan menjatuhkan kerajaan zalim Barisan juga wajib. Presiden Pas gagal memberi keutamaan yang mana satu wajib dilaksanakan terlebih dahulu. Dalam konteks sekarang, hukum hudud entah ke mana, dan matlamat menumbangkan kerajaan zalim BN hanya utopia sahaja. Itulah malangnya Pas memiliki presiden parti yang lemah dalam mengatur strategi politik. Yang di kendong berciciran, yang dikejar tidak dapat. Ayam terlepas tangan bau najis.

Tuesday 12 May 2015



Tuan Guru Haji Hadi Awang Menentang Arus Setiakawan Pakatan Rakyat


Ramai rakyat Malaysia tidak mengira latar belakang mengharapkan Najib Tun Razak meletakkan jawatan. Rakyat marhaen, ahli Umno, penyokong BN, ahli Pas, ahli PKR, ahli DAP dan penyokong-penyokong tegar PR mengharapkan sangat-sangat agar beliau melepaskan jawatan perdana menteri. Orang-orang kampung yang buta politik pun sudah merasakan penderitaan hidup lantaran GST, apatah lagi pelajar-pelajar universiti yang memahami politik mahukan Najib meninggalkan singgahsana Seri Perdana. 

Terlalu banyak kelemahan Najib dalam mengurustadbir negara. Di samping GST, rakyat juga rasa terbeban benak pemikiran mereka dengan 1MDB, Tabung Haji dan hutang negara yang mencecah RM700 bilion. Semakin hari kehidupan rakyat semakin parah kesan daripada kenaikan harga barang-barang keperluan harian. Rosmah Mansor yang dikaitkan dengan keborosan menghabiskan khazanah negara juga menjadi bahan kelakar di warung-warung dan kedai-kedai kopi. Tiada siapa lagi melihat kebaikan Najib melainkan pengampu-pengampu beliau. Pandangan pengampu-pengampu beliau seperti Ahmad Maslan, Hassan Malik dan Abdul Azeez Rahim menjadi tag line perbualan rakyat Malaysia.

Anehnya, dalam pada Dr Mahathir menggunakan segenap keupayaaannya menjatuhkan Najib, Hadi Awang pula bingkas mempertahankannya. Dalam senario Najib dilihat sudah kehilangan tenaga, tiba-tiba sahaja Hadi Awang memberikan  kopi "tongkat Ali" dan pil "viagra" kepadanya. Maka tersenyum lebarlah Rosmah dan pengampu-pengampu beliau. 

Kata Haji Hadi, Najib perlu meneruskan khidmatnya sebagai Perdana Menteri sehingga PRU 14 diadakan kerana beliau dipilih melalui sistem yang adil dan tidak harus tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang memintanya berundur. Beliau harus diberi peluang menyelesaikan masalah yang dihadapinya, tambah beliau lagi. Barangkali ada udang di sebalik mee daripada kenyataan yang dihamburkan oleh Hadi Awang. Pandangan Haji Hadi ini seharusnya diragui kerana ia jelas merumitkan usaha PR menumbangkan BN pada PRU 14 akan datang. Seakan-akan sudah ada kong kali kong antara Najib dengan Hadi Awang.


Pakatan Rakyat berhempas pulas untuk menumbangkan BN kerana terlalu banyak ketirisan, keborosan dan korupsi  yang kerajaan lalukan. Apakah Hadi Awang telah rabun mata sehingga tidak melihat  negara bakal muflis jika Najib terus menjadi PM? Haji Hadi berandaian, jika Najib tiada lagi di persada pemerintahan negara, maka impian untuk membentuk kerajaan perpaduan Umno/ Pas akan hanya menjadi mimpi di siang hari sahaja. Impian untuk menjadi menteri kerajaan pusat hanya tinggal kenangan!

Rakyat Malaysia yang cintakan ketelusan dan keadilan amat kecewa dengan sokongan Hadi Awang kepada Najib. Pada saat PR berkeupayaan memenaangi PRU 14, Hadi Awang pula menentang arus kebangkitan rakyat. Di manakah rakyat Malaysia hendak menyandarkan harapan, jika Hadi Awang selaku Presiden Pas membuat pusingan 360 darjah? Cakap tak serupa bikin. Perpaduan Melayu yang menjadi slogan perjuangan Hadi Awang kini menggusari janji setiakawan bersama Pakatan Rakyat. Fikir-fikirkan apakah Pas perlu mengekalkan Hadi Awang sebagai Presiden Pas pada Muktabar Jun ini?