Tuesday 26 May 2015


Ekstemis Pas: Senjata yang Makan Tuan





Allah memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat di tiga buah negeri Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan melalui PRU 13. Kuasa Pas sangat dominan di Kelantan. Pas mempunyai sedikit kuasa di Selangor, dan sekadar menumpang tuah di Pulau Pinang. Kesan kemenangan di tiga buah negeri ini, memberikan punca rezeki berbentuk jawatan dan kontrak kepada pimpinan dan pendokong-pendokong Pas. Lantaran itu, ahli-ahli Pas yang terlalu kebendaan, melihat jawatan dalam hiraki kepimpinan Pas adalah sumber rezeki. Maka berbondong-bondonglah ahli-ahli Pas mengidam berbagai jawatan parti. Dari titik-tolak inilah maka berlakulah perebutan jawatan yang sangat sengit menjelang Muktamar Pas Jun 2015 ini. Setiap calon ada proksi dan kroni masing-masing. Kemenangan calon-calon pilihan akan membawa tuah kepada mereka.

Umum sudah mengetahui bahawa mutakhir ini, Pas telah terpecah kepada dua kelompok. Kelompok yang pertama pro-ulama yang juga dikenali sebgai UG (United Goverment). Kelompok ini dikepalai oleh Hadi Awang, Presiden Pas. Kelompok ini dikatakan sudah menjalin hubungan gelap dengan Umno / BN untuk membentuk Kerajaan Perpaduan (UG). Kelompok kedua pula dikenali sebagai pro-profesional yang ditunjangi oleh Mat Sabu, Timbalan Presiden Pas. Kelompok ini sememangnya mahukan Pas terus berada dalam Pakatan Rakyat dan terlalu anti BN. Perang dingin yang kian membara antara kedua kelompok ini menyebabkan lahirnya ekstremis parti. Pada pengamatan saya, ekstemis yang tampak nyata memihak kepada kelompok pro-ulama. Nama-nama besar pencacai pro-ulama seperti Tuc Husin Ceroi dan Ustaz Mokhtar Senik menghentam dan menghina kumpulan pro-profesional. Pencacai-pencacai ini melihat kumpulan profesional sangat bahaya dan perlu dinyahkan dari saf kepimpinan Pas.

Hujah pencacai-pencacai ini mudah sahaja. Mereka menyatakan apa sahaja yang dinyatakan oleh Hadi Awang dan pemimpin-pemimpin Pas yang sewaktu dengannya sebagai "sabda dan firman". Apa sahaja kenyataan yang terhambur dari mulut Hadi Awang dianggap sebagai "wahyu" dan tidak boleh disanggah. Bahkan persepsi mereka bahawa pemimpin-pemimpin tertinggi pro-ulama adalah "maksum" dan perlu dipatuhi oleh setiap ahli Pas. Doktrin inilah yang menyebabkan ahli-ahli Pas yang fanatik dan buta politik memberikan "walaq" yang tidak berbelah bagi kepada barisan pimpinan mereka. Saya menyakini doktrin "maksum", "sabda", "firman", kenyataan-kenyataan pemimpin tertentu yang dianggap "wahyu" dan "walaq" akan menjadi "senjata yang akan makan tuan". 

Perwakilan Pas terdiri daripada ahli-ahli matang yang mempunyai disiplin ilmu yang diversiti. Perwakilan-perwakilan Pas mempunyai kebebasan memilih dan pastinya mereka tidak memilih secara kelompok. Pas memerlukan barisan kepimpinan yang datang dari pelbagai disiplin ilmu yang bakal digarap dan digembleng demi kemajuan dan survival parti. "Pas for All" adalah slogan yang sangat signifikan sepanjang zaman dan berupaya memacu Pas dan Pakatan Rakyat menguasai singgahsana Putrajaya pada PRU 14.

No comments:

Post a Comment